ISKANDAR PUTERI, 17 Februari 2026 — Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan kelab Jepun, Vissel Kobe 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada hari Selasa.
Kemenangan penting itu membolehkan skuad Harimau Selatan menamatkan saingan peringkat liga Zon Timur di tangga keenam dengan 11 mata, sekali gus berada dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati. JDT sebelum ini perlu menang bagi memastikan peluang ke pusingan seterusnya terus hidup.
Seawal minit ketiga, JDT hampir membuka jaringan menerusi rembatan Bergson da Silva dari luar kotak penalti, namun berjaya ditepis penjaga gol Vissel Kobe, Shuichi Gonda. Pada minit ke-13, Gonda sekali lagi bertindak cemerlang menepis percubaan Marcos Guilherme selepas menerima umpanan Bergson.
Pasukan pelawat turut mencipta peluang pada minit ke-20 dan ke-22 menerusi Jean Patric, tetapi penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, bertindak tangkas menafikan percubaan tersebut.
Gol JDT pada minit ke-38 menerusi Raul Filipe dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Hector Hevel berada dalam kedudukan ofsaid ketika melakukan hantaran.
Memasuki babak kedua, JDT terus meningkatkan tekanan. Pada minit ke-55, jaringan Guilherme sekali lagi tidak dikira selepas pembantu pengadil mengesan kedudukan ofsaid.

Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-77 apabila pemain gantian Jairo da Silva merampas bola sebelum mengumpan kepada Guilherme yang tidak dikawal. Rembatan leret pemain Brazil itu menewaskan Gonda, sekali gus menceriakan lebih 30,000 penyokong tuan rumah.
Jaringan tunggal tersebut kekal hingga tamat perlawanan, dan ia memastikan JDT melangkah ke pusingan 16 ACLE. Kejayaan ini turut dilihat sebagai penebusan kekalahan 1-5 kepada Vissel Kobe pada Februari 2020, sekali gus memberi makna tambahan kepada kemenangan tersebut.

Tinggalkan Balasan