JOHOR BAHRU, 18 Februari 2026 — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar usaha memerangi rasuah dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan integriti pentadbiran sentiasa terpelihara.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa integriti dan ketelusan pentadbiran merupakan asas penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri secara berterusan.
Amanat tersebut disampaikan ketika baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan hampir dua jam itu turut menyaksikan Baginda dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa serta kemajuan pesat yang dicapai Johor oleh Onn Hafiz.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil, serta Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohammed Shakib Ali.



