WASHINGTON, 18 Februari 2026 — Vatican mengesahkan tidak akan menyertai Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang dipimpin oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sambil menegaskan pengurusan krisis antarabangsa wajar dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Pietro Parolin, menjelaskan bahawa Takhta Kudusmemilih pendirian tersebut kerana sifat lembaga berkenaan tidak selari dengan peranan diplomatik khas Vatican. Beliau turut menekankan kepentingan PBB sebagai mekanisme utama pengurusan konflik global. Paus Leo XIV sebelum ini menerima jemputan menyertai lembaga itu pada Januari. Vatican lazimnya mengekalkan peranan diplomatik bebas walaupun berstatus pemerhati tetap di PBB.
Mexico turut mengambil pendirian yang serupa. Presiden Claudia Sheinbaum menyatakan bahawa negaranya tidak akan menjadi ahli penuh kerana ketiadaan wakil Palestin dalam struktur lembaga tersebut. Mexico merancang menghantar dutanya ke PBB sebagai pemerhati pada mesyuarat pertama lembaga itu di Washington.
Kesatuan Eropah pula menyatakan penyertaan pada mesyuarat sulung hanya sebagai pemerhati. Wakil Suruhanjaya Eropah, Dubravka Šuica, dijadual menghadiri sesi berkaitan Gaza, sejajar komitmen EU terhadap gencatan senjata serta usaha pemulihan pascakonflik. Beberapa negara anggota EU masih meneliti skop, tadbir urus dan keserasian lembaga itu dengan Piagam PBB.
Lembaga Keamanan pada awalnya dirancang bagi menyelia gencatan senjata Gaza serta pentadbiran sementara wilayah tersebut selepas pelan damai diumumkan Washington. Skopnya kemudian diperluas kepada konflik antarabangsa lain, perkembangan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian pakar hak asasi dan pemerhati geopolitik.
Situasi Gaza kekal rapuh sejak gencatan senjata Oktober lalu. Laporan pelbagai agensi menunjukkan pelanggaran berulang melibatkan korban dalam kalangan rakyat Palestin dan anggota tentera Israel. Serangan Israel sejak konflik tercetus pada 2023 dilaporkan meragut lebih 70,000 nyawa, mencetuskan krisis kemanusiaan dan perpindahan besar penduduk Gaza. Sebahagian pakar hak asasi serta siasatan PBB menyifatkan situasi itu sebagai genosid, manakala Israel menegaskan tindakannya sebagai mempertahankan diri susulan serangan kumpulan bersenjata Hamas pada akhir 2023.
Paus Leo XIV berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza, termasuk kesan konflik terhadap orang awam serta keperluan penyelesaian damai jangka panjang.

Tinggalkan Balasan