KUALA LUMPUR, 20 Februari 2026 — Kerajaan akan membentangkan dua rang undang-undang utama di Dewan Rakyat pada 23 Februari, iaitu rang undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya serta rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bacaan kali kedua rang undang-undang pemisahan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dijadualkan pada 2 Mac, manakala rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada 3 Mac oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian dalam taklimat kepada ketua pengarang media tempatan yang diadakan di Asian International Arbitration Centre hari ini. Satu taklimat khas kepada Ahli Parlimen akan diadakan di Dewan Bankuet Parlimen pada jam 1 tengah hari, Isnin.
Menurut Azalina, cadangan pemisahan peranan tersebut bertujuan memastikan proses pendakwaan lebih bebas daripada pengaruh politik, di samping memperkukuh kebebasan institusi serta meningkatkan ketelusan dan keadilan dalam sistem perundangan negara.
Antara cadangan utama termasuk pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong atas budi bicara Baginda berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Jawatan Pendakwa Raya dicadangkan setaraf dengan Peguam Negara dari segi pangkat dan perkhidmatan, dengan syarat mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman litigasi serta tempoh pelantikan tetap selama tujuh tahun.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan bahawa reformasi pemisahan peranan tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini.
Bagi had tempoh jawatan Perdana Menteri, Kabinet pada 31 Januari bersetuju supaya tempoh maksimum ditetapkan kepada 10 tahun atau dua penggal secara kumulatif sepanjang hayat, sama ada berturut-turut atau tidak. Cadangan tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.
Apabila had tersebut dicapai dan Perdana Menteri melepaskan jawatan, Kabinet turut terbubar. Sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dan Kabinet terdahulu hanya menjalankan fungsi kerajaan sementara yang terhad kepada urusan pentadbiran harian.
Azalina berkata kedua-dua rang undang-undang tersebut telah mendapat kelulusan Kabinet dan diharapkan menerima sokongan dwipartisan di Parlimen. Perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum ini menunjukkan sokongan meluas daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terhadap cadangan tersebut.
Dua lagi rang undang-undang berkaitan ombudsman serta kebebasan maklumat turut akan dibentangkan, menjadikan keseluruhan empat rang undang-undang reformasi institusi dalam sesi pertama Dewan Rakyat pada tahun ini.

Tinggalkan Balasan