KUALA LUMPUR, 20 Februari 2026 — Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 ahli Parlimen yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menyertai platform politik baharu minggu depan, menurut beberapa pemimpin parti.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, berkata platform politik tersebut turut dijangka disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Larut itu. Beliau menjangkakan pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Hamzah dalam Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu menyatakan tiga kemungkinan hala tuju politik selepas dipecat daripada Bersatu, iaitu mengambil alih Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), kembali menyertai UMNO atau menyertai PAS dalam Perikatan Nasional.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin, berkata “rumah baharu” itu merujuk kepada sebuah parti kecil sedia ada yang dijangka diambil alih Hamzah bagi memperluaskan pengaruh politik menjelang pilihan raya umum akan datang. Katanya, pendekatan itu membolehkan Hamzah memimpin parti sendiri serta menonjolkan kepimpinan secara langsung.
Sementara itu, bekas Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, menyatakan kesetiaan kepada Hamzah tanpa mengira parti yang bakal dipilih, sambil menjangkakan Bersatu akan terkesan selepas pengumuman rasmi dibuat.
Hamzah dipecat daripada Bersatu minggu lalu susulan keputusan Lembaga Disiplin parti di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti. Turut dipecat ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik), bersama beberapa pemimpin lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu Bahagian Dungun dibubarkan selepas 1,880 ahli daripada 13 cawangan mengumumkan keluar parti serta-merta. Bekas ketuanya, Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, dan mereka merancang menyertai “rumah baharu” yang akan diumumkan Hamzah.



