Enam lelaki, termasuk dua pegawai kanan polis dan seorang anggota, ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Gombak, dengan polis turut merampas wang tunai RM11,498 dan beberapa barang kes.
GOMBAK, 7 Mac 2026 — Enam lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku di daerah ini pada 27 Februari lalu, termasuk dua pegawai kanan polis dan seorang anggota.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi sebelum operasi khas dilancarkan untuk mengesan serta menangkap suspek yang terlibat.
Menurut beliau, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak membawa kepada siri tangkapan bermula 2 Mac lalu.
“Seramai enam lelaki tempatan ditahan di beberapa lokasi berbeza melibatkan tiga suspek dikenal pasti sebagai penjawat awam, iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota polis.
“Tiga lagi ialah orang awam, dan seorang daripada mereka mempunyai 20 rekod lampau,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 8 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM11,498 serta pelbagai barang kes termasuk sebuah Mercedes-Benz, sebuah Chery Omoda 5, sebuah van Toyota Hiace, tiga helai vest bertulis “Polis”, dua ketulan emas seberat 100 gram dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama.
Shazeli berkata, polis kini giat mengesan dua lagi individu yang masih bebas hasil pendedahan maklumat daripada suspek yang telah ditahan.
Beliau menegaskan siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan tanpa kompromi walaupun kes itu membabitkan warga pasukan sendiri.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti pasukan serta keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Tinggalkan Balasan