Tujuh orang pemain, sebuah sistem yang gagal

Kontroversi tujuh orang pemain warisan membongkar kelemahan tadbir urus dan ketidakseimbangan bola sepak negara.

Kongsi
Tujuh orang pemain, sebuah sistem yang gagal

Skandal tujuh orang pemain warisan bukan sekadar kisah dokumen yang diubah, penggantungan pertandingan atau denda terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Ia ialah cermin yang memperlihatkan bagaimana bola sepak Malaysia telah lama dibentuk oleh budaya jalan pintas, pemusatan kuasa dan keghairahan mengejar kemenangan segera. Apabila cermin itu pecah, serpihannya tidak jatuh di atas meja seorang pegawai sahaja. Ia mengenai badan induk, kelab, liga, kerajaan dan semua pihak yang membiarkan satu pusat pengaruh menjadi terlalu besar untuk disoal.

FIFA pada September 2025 mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh orang pemain selepas mendapati dokumen yang digunakan dalam pertanyaan kelayakan telah diubah. Pemain berkenaan ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel. Mereka telah diturunkan ketika Malaysia menewaskan Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027. Dalam kenyataan rasminya, FIFA menyebut bahawa FAM menggunakan dokumen yang diubah bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan.

Mahkamah Timbang Tara Sukan kemudiannya mengubah skop penggantungan supaya terpakai pada perlawanan rasmi, tetapi mengekalkan denda CHF350,000 terhadap FAM. CAS turut memutuskan bahawa para pemain mempunyai penglibatan dalam penipuan dokumen, walaupun FAM berpendirian bahawa mereka tidak mengetahui kesilapan pentadbiran tersebut. Reuters melaporkan bahawa keputusan itu membolehkan pemain berlatih bersama kelab, tetapi tidak memadamkan kesalahan asas yang telah diputuskan.

Di sinilah perkara itu harus dibaca lebih jauh daripada bahasa prosedur. Tujuh orang pemain tersebut bukan muncul dari ruang kosong. Mereka memasuki sebuah ekosistem yang telah lama mengagungkan hasil segera, skuad bintang dan projek berprofil tinggi. Setiap kemenangan dipersembahkan sebagai bukti bahawa sistem sedang maju, sedangkan soalan tentang proses kelayakan, semakan dokumen dan garis tanggungjawab seolah-olah dianggap gangguan kecil kepada sebuah rancangan besar.

JDT berada di tengah-tengah ekosistem itu. Tidak semua tujuh orang pemain tersebut mewakili JDT, tetapi beberapa daripada mereka mempunyai hubungan langsung dengan kelab berkenaan. Lebih penting, falsafah yang mendominasi bola sepak Malaysia sejak lebih sedekad lalu banyak mengambil bentuk yang diasaskan oleh JDT: tumpukan pemain terbaik, kumpulkan sumber terbesar, kawal naratif kejayaan dan jadikan kemenangan domestik sebagai ukuran utama kemajuan.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa JDT membawa piawaian baharu dalam kemudahan latihan, pengurusan profesional, pemasaran dan persediaan pasukan. Masalahnya bukan kerana kelab itu mahu menjadi kuat. Masalah bermula apabila kekuatan sebuah kelab berkembang menjadi ketidakseimbangan seluruh sistem. Liga yang sihat memerlukan beberapa kelab yang berdaya saing, bukan sebuah kelab yang terlalu kaya dikelilingi pasukan yang bergelut membayar gaji, menukar pemilik atau menarik diri.

Dominasi JDT sering dipuji sebagai contoh yang patut diikuti. Ungkapan itu kedengaran mudah apabila perkara yang tidak pernah disebut ialah modal, akses, pengaruh dan perlindungan yang tidak mungkin ditiru oleh kebanyakan kelab lain. Menyuruh pasukan negeri meniru JDT tanpa memberi mereka struktur pendapatan yang setanding ibarat menyuruh nelayan berlumba dengan kapal perang, kemudian menyalahkan nelayan kerana tidak cukup berwawasan.

Akibatnya ialah kerosakan keseimbangan persaingan. Apabila keputusan liga terlalu mudah diramalkan, nilai perlawanan menurun. Penyokong kelab lain hilang keyakinan bahawa pasukan mereka mempunyai laluan munasabah untuk mencabar kejuaraan. Penaja pula kurang berminat terhadap pertandingan yang kesudahannya hampir diketahui sebelum musim bermula. Sebuah liga mungkin kelihatan hebat melalui stadium, video promosi dan pengumuman pemain, tetapi kilauan itu tidak dapat menggantikan ketegangan persaingan sebenar.

Lebih buruk, pemusatan bakat pada sebuah kelab menjejaskan pembangunan pemain. Pemain terbaik tempatan dikumpulkan atas nama standard tinggi, tetapi tidak semuanya memperoleh minit permainan yang konsisten. Kelab lain kehilangan tonggak yang diperlukan untuk membina pasukan kompetitif. Pasukan kebangsaan pula menjadi terlalu bergantung pada satu kumpulan pemain dan satu budaya permainan. Apabila sumber pemain mengecil kepada satu pusat, pemilihan negara mudah bertukar daripada persaingan terbuka kepada lanjutan sebuah sistem kelab.

Dalam suasana seperti ini, sempadan antara kepentingan kelab, liga dan negara menjadi kabur. Keputusan yang sepatutnya dibuat melalui institusi bebas boleh kelihatan seperti lanjutan kehendak pihak yang mempunyai suara paling kuat. Persepsi itu sendiri sudah merosakkan, walaupun tiada bukti bahawa setiap keputusan dipengaruhi secara langsung. Tadbir urus bukan sekadar perlu bersih; ia perlu dapat dilihat bersih.

Kes tujuh orang pemain memperlihatkan bahaya apabila sebuah projek dianggap terlalu penting untuk diperlahankan oleh semakan biasa. Dokumen kelayakan sepatutnya melalui pemeriksaan berlapis. Asal usul keluarga, sijil kelahiran dan rekod kewarganegaraan bukan butiran sampingan. Ia menentukan hak seseorang mewakili negara. Jika dokumen sedemikian boleh melepasi proses dalaman sebelum ditolak oleh badan antarabangsa, maka sama ada sistem itu cuai atau terlalu tunduk kepada desakan mendapatkan keputusan segera. Kedua-duanya tidak boleh diterima.

FAM cuba meletakkan isu tersebut dalam kerangka kesilapan teknikal. Namun istilah yang lembut tidak mengubah sifat dapatan FIFA. Dokumen yang diubah bukan salah taip pada nombor jersi. Ia berkaitan asas kelayakan antarabangsa dan nama Malaysia. Apabila badan induk memilih bahasa yang mengecilkan kesalahan, ia memberi gambaran bahawa keutamaan pertamanya ialah melindungi imej, bukan mencari kebenaran.

Budaya bola sepak kita juga terlalu biasa dengan pengumuman dari atas. Sesuatu rancangan diumumkan dengan penuh keyakinan, kemudian institusi lain bergerak untuk menjayakannya. Apabila rancangan itu berjaya, kejayaan mempunyai wajah yang jelas. Apabila gagal, kegagalan tiba-tiba menjadi kesalahan teknikal tanpa pemilik. Dalam sistem yang matang, kuasa dan tanggungjawab bergerak seiring. Di Malaysia, kuasa sering berdiri di pentas utama, sedangkan tanggungjawab diarahkan masuk melalui pintu belakang.

Ada juga kecenderungan untuk menganggap kritikan terhadap JDT sebagai iri hati terhadap kejayaan. Hujah itu terlalu mudah dan terlalu selesa. Mengkritik ketidakseimbangan liga tidak bermaksud menafikan pencapaian kelab tersebut. Sebaliknya, ia mengakui bahawa kejayaan sebuah kelab tidak sama dengan kesihatan seluruh sukan. Sebuah pokok yang tumbuh paling tinggi tidak membuktikan hutan itu subur jika tanah di sekelilingnya menjadi tandus.

JDT telah memenangi terlalu banyak sehingga kemenangan domestiknya tidak lagi membuktikan kekuatan liga. Ia lebih kerap membuktikan jurang sumber. Ujian sebenar bukan berapa banyak piala dapat dikumpulkan oleh sebuah pasukan, tetapi sama ada sistem mampu menghasilkan beberapa pencabar, membangunkan pemain di banyak negeri dan mengekalkan kelab tanpa krisis gaji. Pada ukuran itu, bola sepak Malaysia tidak boleh mendakwa dirinya sihat.

Kes tujuh orang pemain turut merosakkan kepercayaan terhadap program pemain warisan. Malaysia memang berhak memanggil pemain yang benar-benar memenuhi peraturan. Banyak negara berbuat demikian. Persoalannya bukan sama ada pemain dilahirkan di luar negara, tetapi sama ada kelayakan mereka tulen, prosesnya telus dan pemilihan mereka tidak menjadi alasan untuk mengabaikan pembangunan tempatan.

Program warisan yang sah boleh menambah mutu pasukan kebangsaan. Namun apabila ia dijadikan jalan pintas untuk menggantikan akademi, liga belia dan latihan kejurulatihan, program itu berubah menjadi ubat penahan sakit. Pasukan mungkin kelihatan lebih kuat untuk beberapa perlawanan, tetapi penyakit struktur terus merebak. Skandal dokumentasi membuktikan betapa mahalnya harga yang perlu dibayar apabila kelajuan lebih dihargai daripada ketelitian.

FAM perlu menerbitkan rantaian tanggungjawab yang lengkap. Siapa yang mengenal pasti pemain? Siapa yang mendapatkan dokumen? Siapa yang mengesahkannya? Siapa yang menghantar pertanyaan kepada FIFA? Siapa yang memberikan jaminan kepada pemain, jurulatih dan kerajaan bahawa proses itu dilakukan secara teratur? Jawapan tidak boleh berhenti pada seorang pegawai pentadbiran jika keputusan melibatkan beberapa peringkat organisasi.

Kerajaan juga perlu menjelaskan peranan jabatan yang memproses kewarganegaraan. Kewarganegaraan bukan hadiah bola sepak dan tidak boleh diperlakukan seperti pendaftaran pemain sebelum jendela perpindahan ditutup. Rakyat yang menunggu bertahun-tahun untuk menyelesaikan urusan kewarganegaraan berhak mengetahui mengapa proses tertentu kelihatan begitu cepat apabila melibatkan nama besar dan projek yang mahu disegerakan.

Malaysian Football League pula perlu membina peraturan kewangan yang benar-benar mengurangkan jurang. Had perbelanjaan, kawalan gaji, pelesenan kelab dan pengagihan hasil komersial mesti dikuatkuasakan secara telus. Liga tidak boleh terus berharap kelab lain mengejar JDT dengan wang yang mereka tidak miliki. Persaingan memerlukan peraturan yang menghalang kelebihan ekonomi daripada menjadi kuasa mutlak.

Pembangunan pemain tempatan mesti dikembalikan sebagai ukuran kejayaan. Minit permainan untuk pemain bawah umur, pelaburan akademi, mutu liga pembangunan dan laluan pemain dari sekolah ke kelab profesional perlu dinilai secara terbuka. Membeli pemain terbaik yang telah siap bukanlah perkara yang sama dengan proses untuk menghasilkan pemain seperti mereka. Bola sepak negara tidak akan pulih jika bakat terus dikumpulkan, disimpan dan dipanggil pembangunan.

Penyokong juga perlu berhenti menerima setiap kritikan sebagai serangan terhadap negeri, kelab atau tokoh tertentu. Kesetiaan tidak menuntut penyerahan fikiran. Seseorang boleh menghargai profesionalisme JDT sambil menolak dominasi yang melemahkan liga. Seseorang boleh menyokong Harimau Malaya sambil menuntut penjelasan tentang tujuh orang pemain. Seseorang boleh menghormati kuasa tanpa berpura-pura bahawa kuasa tidak perlu diperiksa.

UP6 SUARA SEMASA sebelum ini telah melaporkan bahawa CAS mengekalkan penggantungan tujuh orang pemain dan denda terhadap FAM. AFC kemudian membatalkan dua kemenangan Malaysia. Implikasi terhadap JDT serta persoalan kewarganegaraan juga telah dibangkitkan dalam laporan mengenai kritikan Romain Molina. Kesemua perkembangan itu menunjukkan skandal ini bukan peristiwa terpencil yang boleh ditutup dengan pertukaran jawatan.

Pemulihan memerlukan pemisahan kuasa yang nyata antara kelab, liga, badan induk dan pasukan kebangsaan. Setiap institusi mesti mempunyai keputusan, rekod dan pertanggungjawaban sendiri. Tiada kelab, walau sebesar mana pun, patut menjadi pusat graviti yang menentukan arah seluruh permainan. Apabila sebuah sistem terlalu bergantung pada seorang penaung, satu kelab atau satu suara, kestabilannya hanya wujud selagi pusat itu mahu menopangnya.

JDT tidak memusnahkan bola sepak Malaysia bersendirian. Kelemahan telah lama wujud dalam FAM, persatuan negeri, kelab dan kerajaan. Namun JDT telah menterbalikkan sistem dengan cara yang menjadikan kelemahan itu lebih parah: bakat tertumpu dalam satu kelab sahaja, liga menjadi tidak seimbang, suara institusi semakin mngecil dan kemenangan dijadikan alasan untuk menangguhkan pembaharuan. Kelab itu menjadi terlalu besar dalam sebuah ekosistem yang terlalu lemah.

Barangkali ada yang masih mahu melihat segala-galanya sebagai bukti kehebatan sebuah projek. Mereka boleh terus menghitung piala dan memuji pengumuman besar. Tetapi tujuh orang pemain, dokumen yang diubah, keputusan yang dibatalkan dan denda antarabangsa ialah angka lain yang tidak dapat dipadam oleh lampu stadium.

Bola sepak Malaysia hanya boleh dibina semula apabila institusi lebih besar daripada individu, liga lebih penting daripada imej sebuah kelab dan kebenaran lebih bernilai daripada kemenangan sementara. Skandal tujuh orang pemain mesti menjadi titik akhir kepada sistem yang memuja kuasa tanpa semakan—bukan satu lagi kes yang dilupakan sebaik sahaja wisel perlawanan berikutnya dibunyikan.

Cite This As:
Citation copied!
APAKAH PENDAPAT ANDA?

Tinggalkan Ulasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *