Israel tahan imam Masjid Al-Aqsa, ketegangan meningkat

Share
Israel tahan imam Masjid Al-Aqsa, ketegangan meningkat

Sumber: Pelbagai agensi

BAITULMAQDIS, 17 Februari 2026 — Polis Israel menahan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammed al-Abbasi, di dalam pekarangan masjid itu pada petang Isnin di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Penahanan tersebut dilaporkan berlaku tanpa alasan rasmi, sekali gus mencetuskan kebimbangan peningkatan ketegangan menjelang Ramadan.

Menurut agensi berita Palestin WAFA yang memetik sumber tempatan, Sheikh al-Abbasi ditahan di halaman Masjid Al-Aqsa tanpa penjelasan mengenai sebab penahanan atau bentuk tindakan lanjut terhadap beliau. Laporan lain menyatakan penahanan itu berlaku selepas sekumpulan peneroka haram Yahudi menceroboh kawasan masjid di bawah kawalan ketat polis negara haram Israel.

Sheikh al-Abbasi kemudian memaklumkan bahawa beliau telah dikenakan perintah larangan memasuki kompleks masjid selama sekurang-kurangnya seminggu, dengan kemungkinan ia dilanjutkan. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan akan sebab larangan tersebut, walaupun baru kembali ke Al-Aqsa selepas setahun menjalani rawatan akibat kemalangan jalan raya.

Penahanan ini berlaku dalam konteks sekatan keselamatan yang semakin diperketatkan di kawasan Masjid Al-Aqsa, termasuk had kemasukan jemaah, sekatan terhadap imam, penceramah dan jemaah tetap, serta peningkatan pencerobohan peneroka haram Yahudi yang dikawal polis Israel. Ketegangan turut meningkat di Kota Lama Baitulmaqdis dan kawasan sekitar masjid susulan penangkapan serta perintah larangan terhadap tokoh agama dan aktivis Palestin.

Pentadbiran Wilayah Baitulmaqdis melaporkan lebih 250 individu dihalang memasuki kompleks masjid sejak awal tahun ini. Pihak berkuasa Israel juga didakwa menghalang Pentadbiran Wakaf Islam daripada membuat persiapan Ramadan, termasuk pemasangan kanopi perlindungan cuaca, penyediaan klinik perubatan sementara dan pengurusan logistik jemaah. Sekitar 25 kakitangan wakaf dilaporkan diusir, empat daripadanya ditahan, manakala puluhan pekerja lain turut dihalang memasuki kawasan masjid menjelang Ramadan.

Menurut data tempatan, pelan keselamatan Ramadan termasuk cadangan mengehadkan kemasukan jemaah Palestin dari Tebing Barat kepada sekitar 10,000 orang dengan kebenaran khas, selain syarat umur iaitu lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita 50 tahun ke atas.

Dalam perkembangan berkaitan, organisasi sayap kanan Israel dilaporkan melanjutkan waktu lawatan pagi peneroka haram Israel ke kompleks masjid daripada 6.30 pagi hingga 11.30 pagi. Desakan kumpulan tertentu di Israel untuk mengubah status quo sejarah kawasan Al-Aqsa turut dilaporkan semakin meningkat, termasuk gesaan supaya ibadah Yahudi dibenarkan secara terbuka di lokasi tersebut.

Pergerakan Hamas mengecam penahanan Sheikh al-Abbasi dan menyifatkannya sebagai campur tangan dalam urusan Masjid Al-Aqsa serta serangan terhadap institusi keagamaan Islam. Mereka menyeru rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan wilayah 1948 untuk terus hadir di masjid bagi mempertahankan identitinya, selain menggesa Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara Arab dan Islam mengambil tindakan segera bagi melindungi tapak suci tersebut.

Pihak Berkuasa Palestin turut memberi amaran bahawa langkah keselamatan Israel menjelang Ramadan berpotensi meningkatkan ketegangan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, tempoh yang lazimnya sensitif dalam konflik Palestin–Israel.

Masjid Al-Aqsa ialah tapak suci ketiga terpenting bagi umat Islam. Kompleks itu terletak di Baitulmaqdis Timur yang ditawan Israel pada 1967. Mengikut status quo lama, orang Yahudi dibenarkan melawat kawasan tersebut tetapi tidak dibenarkan menunaikan ibadah, walaupun isu ini terus menjadi sumber pertikaian politik dan agama di rantau berkenaan.

Cite This As:
Citation copied!

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *